Saturday, December 8, 2018

BUKAN KEHENDAKKU SEBENARNYA YANG PERLU AKU TURUTI

Memang fitrah manusia sebegitu sebenarnya; ada rasa ingin menyampaikan, tidak kisah apa pun ceritanya kerana fitrah sebegitu pasti ada dalam diri manusia. Cuma, apa yang membezakan adalah apa yang sepatutnya disampaikan atau istilahnya; sampaikan sesuka hati.
Begitu juga perihalnya diriku, sebenarnya sudah menjadi kebiasaan untuk aku meluahkan atau berkongsi, tetapi jika dipendam, semakin lama semakin rasa pedih di kepala dan mungkin, mungkin dengan harapan, bila mana aku menulis sebegini, berkuranglah beban jiwa yang menakung segala perbicaraan hati dan sanubari. Cuma mungkin sebelum ini, aku banyak berkongsi apa yang hadir di hati, dan apa yang ada dalam pemikiran. Lebih kepada penulisan berkaitan emosi yang bercampur baur dan adakalanya tidak berpanduan atau tidak bersempadan. Dan bila itu terjadi, makanya, tidak ada kesudahan sebenarnya dan hanya berpusar di situ sahaja.
Sepanjang 35 tahun (umur aku ketika posting ini ditulis) aku menyusuri beberapa denai dan lembah kehidupan, merentasi dan merenangi beberapa aliran kehidupan, namun, sebenarnya yang aku temui dan alami adalah kekeliruan, kekusutan dan pertanyaan demi pertanyaan tanpa ada jawapan yang sebenarnya. Betul, ada jawapannya sebelum ini, tetapi bukan itu jawapan yang hakiki atau yang sepatutnya. Betul, ada masanya hati dan diri seakan hilang dari setiap inci kegusaran, tetapi hakikatnya, yang sentiasa dinafikan dalam sedar adalah bukan sebegitu yang terjadi.
Dan selama tempoh itu aku cuba mencari kunci demi kunci kekuatan, ketenangan serta kesejahteraan, namun tidak ada yang kekal hingga nyata.

Maka benarlah apa yang diwahyukan,

Surah Al-A'raf (7):179

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرًا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌   ۖ   لَهُمۡ قُلُوبٌ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ  ۚ  أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ  ۚ  أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Jadi, apa bezanya aku dengan babi, atau lembu jika selama 35 tahun ini aku berpeleseran, bergerak ke sana sini jika aku tidak menemukan apa yang sepatutnya...?

-Azzuhuddi-
8 Disember 2018
Empire Damansara